
Hospital Jasin | 30 Mei 2025 - Unit Kejururawatan dengan kerjasama Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah, Hospital Jasin telah berjaya menganjurkan Seminar Hari Jururawat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang berlangsung di Dewan Merak Kayangan, Hospital Jasin. Program dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan doa kesyukuran sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran atas jasa serta pengorbanan para jururawat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Acara utama seminar ini adalah ceramah bertajuk “Fiqh Aulawiyat dalam Amalan Kesihatan” yang disampaikan oleh Ustaz Adi Fahmi bin Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam Hospital Melaka. Ceramah tersebut mengetengahkan prinsip fiqh keutamaan dalam kehidupan dan profesion kejururawatan, selari dengan tuntutan agama Islam dan cabaran dalam bidang kesihatan. Objektif program ini adalah memberi pengisian motivasi rohani kepada jururawat, memupuk kefahaman fiqh dalam amalan kesihatan, dan mengukuhkan ukhwah sesama anggota kesihatan di Hospital Jasin.
Semoga program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai satu platform berterusan untuk memperkasakan sahsiah, meningkatkan kefahaman agama dan menyuburkan budaya kerja yang berteraskan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga Hospital Jasin. Seminar ini juga mencerminkan komitmen Hospital Jasin dalam mengangkat martabat jururawat bukan sahaja dari aspek klinikal, malah juga dari segi pembangunan rohani dan akhlak profesional.
ALBUM GAMBAR



