Program Pemerkasaan Komuniti dan Kolaborasi Pelbagai Agensi

  PERKHIDMATAN  PERGIGIAN
Kolaborasi Kesihatan Oral dan Agama (KOA)

Program Kolaborasi Kesihatan Oral Dan Agama atau Kesihatan Oral dan Agama (KOA) bertujuan menggunakan institusi keagamaan sebagai platfom untuk menyampaikan mesej kesihatan dan penjagaan pergigian kepada orang ramai. Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk ceramah, pameran, pemeriksaan dan rawatan pergigian.

Ikon Gigi (IGG)

Ikon Gigi atau iGG diperkenalkan untuk meningkatkan status kesihatan mulut rakyat dengan menggalakkan penglibatan individu dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dan pemerkasaan masyarakat.

Individu dalam kalangan masyarakat dilantik sebagai iGG. Mereka dilatih oleh Pegawai Pergigian untuk menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan pergigian kepada masyarakat setempat mereka dan berperanan sebagai role model.

Dengan ini, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat dalam penjagaan kesihatan pergigian kendiri dan seterusnya meningkatkan status kesihatan mulut masyarakat. Seramai 31 orang telah dilantik sebagai ikon gigi di negeri Melaka pada masa ini.

Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti TWIST (Transformation With 1 Smile Together)

Program TWIST (Transformation With 1 Smile Together) merupakan program kolaborasi di antara Program Kesihatan Pergigian dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti. Ia adalah kesinambungan kepada Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah yang diperluaskan kepada golongan belia dalam memperkasakan penjagaan kesihatan pergigian. Ia juga sebagai langkah untuk memastikan semua pelajar Kolej Komuniti mencapai tahap kesihatan mulut yang optimum dengan sekurang-kurangnya mendapatkan sekali pemeriksaan gigi dalam tempoh pengajian mereka.

Program ini juga memperkenalkan Ikon Gigi Remaja (iGG-R) yang dipilih dalam kalangan pelajar Kolej Komuniti yang akan bertindak sebagai Duta Golongan Belia. Ikon iGG-R berperanan sebagai agen perubahan dan role model kepada masyarakat. Mereka berperanan sebagai sukarelawan pergigian dalam memberi penerangan tentang kesihatan pergigian dan cara penjagaannya untuk disampaikan kepada masyarakat. Melalui program yang dianjurkan ini, pelbagai pengisian menarik telah disediakan antaranya taklimat dan penerangan oleh pegawai pergigian berkenaan penjagaan kesihatan gigi, pemeriksaan gigi secara percuma serta pameran dan kuiz kesihatan pergigian.

© 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Hakcipta Terpelihara