Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Primer

  PERKHIDMATAN  PERGIGIAN
Perkhidmatan Kesihatan Toddler

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian untuk Kanak-kanak Toddler disasarkan kepada kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah, ibu bapa/penjaga, penyedia pusat jagaan kanak-kanak dan anggota kesihatan. Inisiatif ini dijalankan di kilinik pergigian, klinik kesihatan ibu dan anak, klinik kesihatan dan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar.

Aktiviti utama bagi kanak-kanak todler ialah pemeriksaan gigi dan sapuan fluorida sebagai rawatan pergigian pencegahan. Penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak todler adalah penting kerana kesihatan gigi susu boleh mempengaruhi pertumbuhan gigi kekal nanti.

Program Generasiku Harapanku (GKHK) yang telah dimulakan sejak tahun 2015 di negeri Melaka turut menyumbang dalam pencapaian sasaran pemberian rawatan pencegahan kepada kanak-kanak todler. Program ini juga menyampaikan pendidikan kesihatan pergigian kepada ibu bapa/penjaga kanak-kanak berumur 4 tahun dan ke bawah supaya kesihatan pergigian kanak-kanak todler sentiasa dikekalkan ke arah pencapaian pertumbuhan dan pembangunan diri yang optimum bagi kanak-kanak todler.

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Pra Sekolah

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Prasekolah meliputi kanak-kanak prasekolah berumur 5-6 tahun yang bersekolah di tadika dan prasekolah. Perkhidmatan merangkumi aktiviti promosi (ceramah kesihatan pergigian, latihan memberus gigi, pertunjukan boneka dan role play), pemeriksaan dan rawatan pencegahan serta rawatan asas pergigian.

Keutamaan diberikan kepada tadika kerajaan di bawah Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Jabatan/Majlis Agama Negeri. Namun begitu, perkhidmatan ini juga telah diperluas kepada tadika swasta yang berdaftar. Seminar kesihatan pergigian bagi guru-guru tadika untuk meningkatkan pengetahuan mereka dalam aspek kesihatan pergigian juga turut diadakan agar mereka dapat memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak prasekolah.

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah adalah teras utama dalam perkhidmatan kesihatan pergigian kerajaan. Perkhidmatan pergigian sekolah rendah dan menengah dilaksana secara inkremental, sistematik dan menyeluruh supaya matlamat kesihatan pergigian yang optimum bagi pelajar sekolah tercapai sepenuhnya.

Perkhidmatan pergigian sekolah disampaikan melalui klinik pergigian sekolah, pasukan pergigian bergerak dan juga klinik pergigian bergerak.

Perkhidmatan Pergigian Ibu Mengandung

Matlamat utama Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Ibu Mengandung adalah untuk memberi pengetahuan kesihatan pergigian kepada ibu sebagai ejen perubahan kesihatan pergigian di persekitaran rumah dengan mengubah tingkah laku dalam kalangan ahli keluarga. Mereka diberikan rawatan pergigian asas secara percuma.

Ibu mengandung yang mendapat rawatan di klinik kesihatan akan dirujuk ke klinik pergigian kerajaan terdekat bagi sesi promosi kesihatan pergigian, pemeriksaan dan rawatan pergigian. Temujanji lanjut akan ditetapkan, jika perlu.

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Orang Dewasa

Perkhidmatan kesihatan Pergigian untuk Orang Dewasa disediakan berdasarkan permintaan. Perkhidmatan ini dilaksanakan melalui klinik-klinik pergigian atau aktiviti outreach ke komuniti. Sebagai kesinambungan daripada Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Sekolah, Program Penjagaan Kesihatan Pergigian bagi Orang Dewasa Muda telah dimulakan pada tahun 2019 dengan kumpulan sasaran orang dewasa muda berumur di bawah 29 tahun.

Program ini meliputi penjagaan kesihatan pergigian promotif, pencegahan, rawatan dan rehabilitasi bagi mengekalkan kesihatan pergigian yang optimum bagi kumpulan sasaran ini. Penyampaian perkhidmatan bagi program ini dilaksanakan di institusi pengajian tinggi, klinik-klinik pergigian dan klinik/pasukan pergigian bergerak.

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Kanak-kanak Berkeperluan Khas

Program Kesihatan Pergigian telah mengiktiraf kanak-kanak berkeperluan khas sebagai salah satu kumpulan sasar utama. Program ini telah dilancarkan pada tahun 1993 dengan penekanan diberikan kepada perkhidmatan kesihatan pergigian di klinik pergigian dan institusi-institusi yang berkaitan. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesihatan mulut kanak-kanak berkeperluan khas yang akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.

Di antara aktiviti yang dijalankan ialah penerapan amalan kesihatan mulut yang baik, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kesihatan pergigian penjaga kanak-kanak berkeperluan khas dan juga kemahiran anggota pergigian dalam pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas. Bagi memastikan kesihatan mulut yang baik dapat dicapai, promosi kesihatan pergigian, rawatan pencegahan klinikal dan rawatan-rawatan lain dilaksanakan sejajar dengan hala tuju Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah pembangunan masyarakat penyayang.

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Warga Emas

Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Warga Emas bertujuan untuk meningkatkan kesihatan pergigian dan kualiti kehidupan melalui kempen kesedaran kesihatan pergigian untuk warga emas dan penjaganya, dan juga amalan penjagaan kendiri yang sesuai di pelbagai institusi warga emas yang dikenalpasti.

© 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Hakcipta Terpelihara