Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat

  PERKHIDMATAN  PERGIGIAN
Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam

Pemfluoridaan Bekalan Air Awam telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO) sebagai program pencegahan yang berkesan untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi.

Pemfluoridaan bekalan air awam telah diterima sebagai salah satu polisi kerajaan Malaysia sejak tahun 1972. Liputan bekalan air paip yang luas serta kerjasama yang baik dengan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah menyumbang kepada kejayaan program pemfluoridaan bekalan air awam di negeri ini.

Program Pencegahan dan Pengesanan Awal Lesi PraKanser dan Kanser Mulut

Program Pencegahan dDan Pengesanan Awal Lesi Prakanser dan Kanser Mulut telah dilancarkan pada tahun 1996 dan disasarkan kepada kumpulan yang berisiko. Pada tahun 2014, sebagai tambahan kepada saringan bagi masyarakat yang dikenal pasti berisiko tinggi, penekanan juga telah diberi kepada opportunistic screening untuk pesakit luar di semua klinik pergigian dan perkhidmatan outreach masyarakat.

Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser mulut, mendidik individu mengesan tanda-tanda awal kanser mulut (Pemeriksaan Kendiri Mulut) dan menjalankan saringan lesi mulut dan faktor berisiko dalam kalangan pesakit yang berumur 18 tahun dan ke atas. Pesakit yang mempunyai faktor risiko dan/atau lesi mulut akan dirujuk ke klinik pergigian untuk pengendalian seterusnya.

Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Masyarakat/Komuniti (Outreach)

Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Masyarakat/Komuniti dijalankan dengan menggunakan klinik/pasukan pergigian bergerak. Komuniti yang disasarkan kebanyakannya adalah dari golongan yang terpinggir seperti warga emas dan orang kurang upaya di institusi, serta Orang Asli. Perkhidmatan ini juga disediakan di klinik pergigian di Urban Transformation Centre (UTC) dan Rural Transformation Centre (RTC) yang merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk di bandar dan luar bandar. Selain daripada memberi promosi dan pendidikan kesihatan pergigian, perkhidmatan ini juga menyediakan pemeriksaan pergigian, saringan kanser mulut serta pencegahan klinikal, penskaleran, tampalan, cabutan gigi dan pembuatan dentur.

Program Kampung Angkat Pergigian

Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Melaka menganjurkan Program Kampung Angkat Pergigian dengan mengguna pakai konsep membawa perkhidmatan kesihatan terus kepada masyarakat supaya taraf kesihatan mulut rakyat Melaka dipertingkatkan lagi. Program Kampung Angkat Pergigian merupakan inisiatif baru dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian kepada komuniti sama ada di kampung atau di bandar terutamanya golongan B40, masyarakat terpinggir dan golongan miskin bandar. Objektif umum program ini adalah untuk meningkatkan taraf kesihatan mulut dalam kalangan komuniti kampung dan kelompok penempatan. Kelompok penempatan atau kampung yang terpilih akan dijadikan Kampung Angkat Pergigian di bawah jagaan klinik pergigian yang berhampiran sekurang-kurangnya bagi tempoh 5 tahun. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuklah aktiviti promosi kesihatan pergigian, sesi kaunseling kesihatan pergigian, pemeriksaan pergigian, saringan kanser mulut, serta rawatan pencegahan dan rawatan pergigian asas melalui pasukan/klinik pergigian bergerak/lawatan rumah ke rumah.

© 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Hakcipta Terpelihara