Kepakaran Bedah Mulut dan Maksilofasial merawat patologi orofasial serta kecederaan yang melibatkan bahagian mulut, rahang, muka, leher, kepala dan struktur-struktur yang berkaitan. Kepakaran ini juga meliputi pembedahan serta rekonstruktif oral maksilofasial melibatkan kes-kes sumbing, kosmetik dan juga kanser. Kepakaran ini bertempat di Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, Hospital Melaka.
Skop perkhidmatan kepakaran Bedah Mulut dan Maksilofasial juga merangkumi lawatan perkhidmatan ke Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah yang meliputi perkhidmatan pesakit luar serta menjalankan pembedahan di bawah bius am dan juga setempat.
Kepakaran Pergigian Pediatrik menyediakan pelbagai perkhidmatan dan rawatan kepada kanak-kanak yang berumur 16 tahun dan ke bawah.
Keutamaan adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan, rawatan yang rumit, kanak-kanak berkeperluan khas dan juga yang memerlukan prosedur pembedahan.
Prosedur ini merangkumi aspek promosi, pencegahan, kuratif dan pemulihan selepas rawatan. Kepakaran ini bertempat di Jabatan Pergigian Pediatrik, Hospital Melaka.
Kepakaran Perigigan Periodontik adalah suatu bidang khas yang memelihara kesihatan tisu-tisu periodontium, mencegah penyakit periodontium, merawat jangkitan serta mengembalikan fungsi tisu periodontium selepas jangkitan dapat diatasi.
Rawatan yang diberi termasuk rawatan awal untuk menangani jangkitan seperti penskaleran, pendebridmen akar, serta tunjuk ajar higin mulut yang betul supaya jangkitan dapat dikawal. Rawatan pembedahan periodontik juga disediakan bagi mengurus kecacatan tulang penyokong gigi dan tisu lembut, pembedahan berkaitan rehabilitasi fungsi seperti pembedahan gusi, regenerasi gusi dan tulang serta rawatan sokongan selepas penyakit periodontium stabil.
Kepakaran ini juga menyediakan rawatan selain rawatan penyakit periodontium. Ini termasuklah persediaan bagi rawatan ortodontik dan prostodontik seperti pendedahan gigi terimpak, pemanjangan korona untuk tujuan korona gigi dan pemegang jambatan serta pembedahan bagi persediaan gigi palsu. Bagi menambah akses kepada perkhidmatan, lawatan berjadual ke klinik-klinik pergigian tanpa pakar terpilih yang mempunyai keperluan rawatan kepakaran pergigian periodontik yang tinggi juga telah diatur. Perkhidmatan kepakaran ini disediakan di klinik-klinik pergigian primer kerajaan tertentu dengan semua pesakit adalah pesakit rujukan.
Kepakaran Pergigian Restoratif adalah kepakaran pergigian yang menjalankan rawatan bagi prosedur penggantian dan rehabilitasi tisu pergigian yang rosak atau hilang akibat penyakit pergigian, gangguan perkembangan atau trauma dengan matlamat untuk mengembalikan fungsi fisiologikal dan estetik pesakit.
Rawatan pergigian restoratif yang diberikan merangkumi kes endodontik kompleks dan prostodontik kompleks. Kebiasaannya kes rujukan bagi pakar pergigian restoratif ini diterima daripada klinik-klinik pergigian kerajaan dan swasta, hospital dan juga klinik kesihatan kerajaan.
Kepakaran Pergigian Ortodontik memberi rawatan bagi masalah rahang atau susunan gigi yang tidak teratur (bertindih, terpusing atau jongang) dengan menggunakan aplians tetap/boleh tanggal. Rawatan ini juga dikenali sebagai rawatan braces atau pendakap gigi.
Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan ini boleh menjalankan pemeriksaan di mana-mana klinik pergigian berhampiran. Doktor pergigian akan membuat rujukan kepada pakar ortodontik sekiranya didapati pesakit memerlukan rawatan tersebut. Bagi perkhidmatan kerajaan, keutamaan diberikan kepada murid-murid sekolah berumur di bawah 18 tahun.
Kepakaran Kesihatan Awam Pergigian terlibat dalam pembangunan dasar-dasar dan strategi-strategi kesihatan awam pergigian. Kepakaran ini membuat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program perkhidmatan kesihatan pergigian awam melalui penganalisaan dan penilaian status serta keperluan kesihatan pergigian penduduk.
Kepakaran ini juga menerajui inisiatif-inisiatif promosi dan pencegahan kesihatan pergigian, memperkasa masyarakat untuk peningkatan kesihatan mulut dan kesejahteraan penduduk serta mengurangkan ketidaksamaan capaian perkhidmatan pergigian dengan meningkatkan akses rakyat terhadap penjagaan kesihatan pergigian yang berkualiti di negeri Melaka.
Unit Kepakaran Pergigian Kesihatan Awam Melaka telah ditubuhkan di negeri Melaka bagi mempertingkatkan aktiviti penggalakan kesihatan pergigian dan rawatan pergigian pencegahan pergigian melalui Konsep Kesejahteraan Keluarga untuk meningkatkan taraf kesihatan mulut dan kualiti hidup masyarakat di negeri Melaka dengan keutamaan diberikan kepada individu dan keluarga berisiko tinggi.