BKKM: SIJIL EKSPORT

  PERKHIDMATAN  KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN

Pengeluaran sijil eksport yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh negara pengimport. Terdapat tiga jenis sijil eksport yang boleh dimohon dengan KKM iaitu sijil kesihatan bagi produk makanan dan bahan bersentuhan makanan, sijil penjualan bebas bagi produk makanan, dan sijil Non-Genetically Modified Food (Non-GMF). 

Pengeluaran sijil eksport dapat memberi jaminan bahawa produk makanan yang dieksport dari Malaysia adalah selamat dan ini sekaligus dapat meningkatkan permintaan eksport produk makanan dari pelbagai negara.
 

PERMOHONAN SIJIL KESIHATAN

Sijil kesihatan merupakan keperluan kepada sesetengah negara pengimport dan perlu merujuk kepada kehendak negara pengimport. Pengeluaran sijil kesihatan dapat memastikan makanan dan bahan bersentuhan makanan mematuhi keperluan ditetapkan sekaligus dapat memastikan keselamatan makanan yang dieksport.

Permohonan bagi sijil kesihatan boleh dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah terdekat mengikut syarat dan kriteria permohonan yang ditetapkan.Untuk mendapatkan Garis Panduan Pengeluaran Sijil Kesihatan Bagi Produk Makanan dan Bahan Bersentuhan Makanan anda boleh layari laman Sijil Kesihatan di Portal Rasmi BKKM 


PERMOHONAN SIJIL PENJUALAN BEBAS

Sijil penjualan bebas menjadi keperluan bagi sesetengah negara pengimport termasuk bagi tujuan pendaftaran produk oleh pihak berkuasa di negara pengimport. Ia juga memastikan sesuatu makanan bebas dijual di Malaysia dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Pengeluaran sijil penjualan bebas dapat memastikan keperluan negara pengimport dipatuhi dan memastikan makanan bebas dijual di Malaysia serta mematuhi kriteria pelabelan yang ditetapkan.

Permohonan bagi sijil penjualan bebas boleh dibuat di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengikut syarat dan kriteria permohonan yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut berkenaan  Garis Panduan Pengeluaran Sijil Eksport Penjualan Bebas dan bayaran sijil anda boleh layari laman Sijil Penjualan Bebas di Portal Rasmi BKKM .

Permohonan bagi sijil eksport perlu di buat secara atas talian di portal FOOD SAFETY INTERNATIONAL SYSTEM OF MALAYSIA (FoSIM) .


Senarai Keperluan Eksport Makanan

Setiap negara pengimport mengenakan keperluan pengimportan produk makanan yang berbeza. Adalah menjadi tanggungjawab pengeksport makanan dari Malaysia untuk mengambil tahu keperluan pengimportan makanan yang perlu dipatuhi sebelum mengimport makanan ke mana-mana negara. Maklumat pengimportan makanan boleh didapati dari agen-agen pengimport atau di laman sesawang pihak berkuasa (competent authority) sesuatu negara.

Sekiranya, pengeksport gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan, produk makanan yang dieksport boleh dikenakan pelbagai tindakan berdasarkan perundangan negara pengimport antaranya produk akan ditolak dan dihantar semula ke Malaysia, dilupuskan di negara pengimport dan lain-lain. Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan keperluan mengikut negara sila layari laman Senarai Keperluan Eksport Makanan di portal BKMM .

© 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Hakcipta Terpelihara