MENGENAI KAMI  PROFIL PERKHIDMATAN

BAHAGIAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN

SEJARAH DAN GARIS MASA BAHAGIAN KESELAMATAN & KUALITI MAKANAN (BKKM)

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) adalah salah satu Program di bawah Ketua Pengarah Kesihatan, KKM.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan diwujudkan untuk melindungi orang awam dari bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan. Aktiviti ini telah berkembang dengan pesat sejak tahun 1950an. Sebelum tahun 1985,  penguatkuasaan ke atas keselamatan dan mutu makanan dijalankan di bawah Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952. Keperluan perundangan makanan direalisasikan dengan kemajuan negara  sejajar dengan perkembangan dunia dalam sekuriti dan keselamatan makanan; perkembangan dalam teknologi penghasilan makanan serta pemasaran makanan. Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikuatkuasakan pada Oktober 1985.

Bermula dari penubuhannya pada tahun 1974, Bahagian ini dikenali sebagai Unit Kawalan Mutu Makanan. Selaras dengan pembangunan industri makanan Negara, peningkatan trend ekonomi pada awal tahun 1990an dan isu keselamatan makanan secara global, Unit Kawalan Mutu Makanan telah dinaiktaraf ke Bahagian Kawalan Mutu Makanan di peringkat Kementerian pada tahun 1993. Pada September 2004, Bahagian Kawalan Mutu Makanan telah melakukan penjenamaan semula kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Bahagian ini telah dinaiktaraf kepada satu Program pada 1 Julai 2010 dengan diketuai oleh Pengarah Kanan dan dua Pengarah Bahagian.

Visi BKKM

Memastikan keselamatan makanan dan mempertingkatkan integriti negara dalam keselamatan dan kualiti makanan melalui tanggungjawab dan akauntabiliti bersama berasaskan sistem pengurusan tripartite yang berkesan ke arah Wawasan 2020.

Misi BKKM

Mewujudkan penglibatan dan penyertaan masyarakat untuk kesihatan bagi meransang dan memudahkan rakyat untuk:

  • Mencapai sepenuhnya kemampuan kesihatan mereka.
  • Menghargai kesihatan sebagai aset yang bernilai.
  • Mengambil langkah positif meningkatkan lagi dan mengekalkan status kesihatan bagi menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

Objektif BKKM

BKKM ditubuhkan bagi memantapkan aktiviti merancang, melaksana, memantau dan menilai Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bagi melindungi orang ramai terhadap bahaya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyimpanan, penyediaan, pemprosesan pembungkusan, pengangkutan, penjualan dan penggunaan makanan; serta memudahkan perdagangan makanan.

DASAR KESELAMATAN MAKANAN KEBANGSAAN

Makanan bukan sahaja merupakan satu komoditi pertanian dan perdagangan tetapi yang lebih penting ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan awam. Dengan itu kemampuan untuk mengekalkan perkembangan di dalam sektor makanan bergantung kepada keberkesanan program keselamatan makanan yang bertujuan untuk melindungi pengguna daripada ancaman kesihatan dan penipuan, disamping mengalakkan perdagangan makanan.

Memandangkan kemungkinan kesannya kepada ekonomi dan kesihatan awam terutamanya semasa krisis keselamatan makanan, kepentingan keselamatan makanan atau pengurusan risiko (risk management) tidak boleh dipandang ringan.

Kemajuan dan perkembangan di dalam bidang sains dan teknologi telah melipatgandakan pengeluaran pertanian dan makanan. Walaupun ini mendatangkan manfaat, akan tetapi tanpa sebarang pengawalan ia boleh menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Perubahan dalam citarasa dan kecenderungan pengguna serta peningkatan pendapatan telah memainkan peranan utama untuk mempelbagaikan pilihan dan kebolehdapatan (availability) makanan. Di samping itu, globalisasi perdagangan makanan, peningkatan kebergantungan ekonomi dan pertukaran budaya juga telah beransur-ansur mempengaruhi penerapan pelbagai citarasa dan kecenderungan pengguna. Ini telah mengakibatkan kemasukkan pelbagai jenis makanan secara meluas ke dalam pasaran, menjadikannya satu bebanan kepada kerajaan kerana sumber yang terhad bagi menjamin keselamatan makanan.

Pelaksanaan perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa dan serantau akan terus meliberalisasikan perdagangan makanan dan ini mengakibatkan kemasukkan makanan ke dalam pasaran secara mendadak. Dengan termeterainya Perjanjian Sanitary and Phytosanitary Measures(SPS) dan Technical Barriers to Trade (TBT) di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) negara-negara anggota telah dibebankan dengan kewajipan baru berkaitan keselamatan makanan dalam perdagangan makanan di peringkat antarabangsa bagi melindungi hak-hak negara anggota.

Kesemua tekanan dan cabaran ini telah mendorong kepada keperluan untuk memformulasikan dasar keselamatan makanan kebangsaan yang bersepadu.

STRATEGI

Bagi menjayakan dan mencapai objektif yang telah disasarkan, beberapa strategi telah dirancang dan dilaksanakan. Antaranya :

  1. Beberapa undang-undang, kod amali, dan garis panduan telah diwujud, diperkenal dan dikuatkuasakan secara berterusan. Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan undang-undang juga dipertingkatkan.
  2. Memberi penekanan yang lebih kepada aktiviti pesampelan makanan daripada peringkat punca bagi mengawal keselamatan dan kualiti makanan di peringkat pengeluaran makanan.
  3. Meningkatkan kesedaran dan memupuk amalan penyediaan makanan yang baik kepada pengusaha dan pengendali makanan serta orang ramai.
  4. Mengadakan kerjasama yang erat dari segi penyelarasan dan penggembelengan tenaga dengan agensi-agensi yang berkaitan untuk membolehkan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan dilaksanakan dengan baik.

 

AKTIVITI DAN PENCAPAIAN

Sebagai satu Bahagian yang betanggungjawab bagi memastikan bekalan makanan adalah selamat di seluruh negeri Melaka, BKKM menjalankan beberapa aktiviti melalui Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah dan pintu-pintu masuk.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan adalah:­

  1. Pensampelan makanan
  2. Pemeriksaan premis makanan
  3. Pengawalan makanan eksport
  4. Penguatkuasaan undang-undang makanan, kod amali, dan garis panduan
  5. Semakan, kemaskini, dan penggubalan undang-undang makanan, kod amali, dan garis panduan
  6. Pendidikan kepada industri dan pengguna
  7. Perkhidmatan makmal
  8. Kajian dan penyelidikan
  9. Perkhidmatan perundangan dan nasihat

 

Aktiviti Pesampelan

Pensampelan makanan adalah diperlukan bagi membantu semua aktiviti di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan. Secara amnya, sampel makanan diambil bagi tujuan berikut :­

  1. Penguatkuasaan undang-undang
  2. Pengawasan bahan makanan keluaran tempatan
  3. Pengawalan makanan import
  4. Pengawalan makanan eksport
  5. Pengawasan ke atas krisis makanan
  6. Kajian-kajian tertentu

 

Aktiviti Pemeriksaan Premis
 
Dilakukan di premis-premis makanan dan juga sekolah. Selain itu penutupan premis dilakukan bagi premis yang mendapat markah kurang daripada 70 semasa pemeriksaan premis tersebut
 
Aktiviti Pengawalan makanan eksport
 
Pengeluaran :

  1. Sijil Kesihatan (Health Certificate)
  2. Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate)

.
Aktiviti Pendidikan kepada industri dan pengguna

  1. Program Pengawalan Kebersihan dan Keselamatan Makanan Pasar Ramadhan
  2. Sistem Jaminan Keselamatan Makanan ;
    i)   HACCP
    ii)  GMP
    iii)  MeSTI
  3. Kempen Keselamatan Makanan : ”Lihat, Hidu & Rasa” 
  4. Skuad Germ Buster Sekolah.
  5. Pertandingan Kantin Sekolah Bersih Peringkat Negeri Melaka.
Profil Perkhidmatan      Bahagian Kesihatan Awam    Bahagian Perubatan    Bahagian Pergigian    Bahagian Pengurusan    Bahagian Farmasi 

Tarikh Akhir Kemaskini :: 22-01-2019 :: 11:15 AM