Bahagian Pergigian

  KORPORAT  BAHAGIAN
Profil Bahagian

Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Melaka (BKPNM) berfungsi sebagai pusat pentadbiran perkhidmatan pergigian di negeri Melaka. Diterajui oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) (TPKNG), BKPNM bertanggungjawab kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dan Program Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (PKP KKM) untuk memberi perkhidmatan kesihatan pergigian secara holistik kepada masyarakat melalui kolaborasi dengan agensi-agensi kesihatan dan bukan kesihatan, sama ada kerajaan atau bukan kerajaan. Terdapat tiga (3) buah pejabat pentadbiran kesihatan pergigian daerah iaitu Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Melaka Tengah (PKPDMT), Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Alor Gajah (PKPDAG) dan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Jasin (PKPDJ) serta 30 buah klinik pergigian yang beroperasi di bawah naungannya.

Objektif


BKPNM berperanan untuk meningkatkan status kesihatan mulut penduduk di negeri Melaka kepada tahap yang optimum melalui penyampaian perkhidmatan pergigian promotif, pencegahan, kuratif dan rehabilitatif dengan memberi penekanan kepada kumpulan-kumpulan utama yang dikenalpasti, termasuk penduduk yang terpinggir dan mudah terkesan agar taraf kesihatan pergigian sentiasa selari dengan kemajuan sosio-ekonomi di negeri Melaka.

Visi


Rakyat Melaka sentiasa sihat melalui satu sistem perkhidmatan kesihatan pergigian yang cekap, prihatin, mesra, berkesan, seimbang dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat bagi menghadapi cabaran negara maju.

Misi


Untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada rakyat supaya mencapai tahap kesihatan mulut yang optimum dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat melalui usaha-usaha menggalak amalan kesihatan pergigian yang positif dan memastikan perkhidmatan pergigian yang berkualiti, berteknologi sesuai serta memenuhi kepuasan pelanggan.

Senarai Perkhidmatan Bahagian Pergigian

Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer

Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer ditujukan kepada semua penduduk dengan golongan sasaran utama adalah todler, kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu mengandung, kanak-kanak berkeperluan khas, orang dewasa dan warga emas. Program ini telah dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan kesihatan mulut yang optimum bagi segenap lapisan masyarakat dapat dicapai.

Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat

Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat adalah satu program yang dikendalikan melalui pendekatan populasi atau menyasarkan masyarakat/individu yang berisiko tinggi terhadap masalah kesihatan pergigian. Antara program yang dijalankan adalah seperti:

  • Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam
  • Program Pencegahan dan Pengesanan Awal Lesi Prakanser dan Kanser Mulut.
  • Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Komuniti (Outreach)
  • Program Kampung Angkat Pergigian 
Penjagaan Kesihatan Pergigian Kepakaran

Terdapat enam disiplin kepakaran yang merangkumi:

  • Kepakaran Pergigian Bedah Mulut & Maksilofasial
  • Kepakaran Pergigian Pediatrik
  • Kepakaran Pergigian Periodontik
  • Kepakaran Pergigian Restoratif
  • Kepakaran Pergigian Ortodontik
  • Kepakaran Pergigian Kesihatan Awam
Penggalakan Kesihatan Pergigian

Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Melaka terus memperkukuhkan penyampaian promosi pergigian dalam usaha memperkasakan orang ramai dalam penjagaan kesihatan pergigian. Tujuan program penggalakan kesihatan pergigian ini adalah untuk menyampaikan mesej berkenaan kesihatan pergigian kepada masyarakat melalui ceramah, latihan memberus gigi (LMG), pameran, kempen kesihatan, media sosial, televisyen dan radio.

Bagi memastikan kelangsungan penyampaian kesihatan pergigian kepada semua golongan, media sosial rasmi Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Melaka menjadi platform utama dalam menyediakan info pergigian dengan konsep infotainment yang berbeza dan kreatif.

Program Pemerkasaan Komuniti dan Kolaborasi Pelbagai Agensi
  • Kolaborasi Kesihatan Oral Dan Agama (KOA)
  • Ikon Gigi (IGG)
  • Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti (TWIST)

Senarai Unit-Unit Bahagian Pergigian
 

© 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. Hakcipta Terpelihara