PENGELUARAN SIJIL PENJUALAN BEBAS
GARIS PANDUAN PENGELUARAN SIJIL PENJUALAN BEBAS UNTUK PRODUK MAKANAN
DIBAWAH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
PENDAHULUAN
Sijil Penjualan Bebas menjadi keperluan bagi setengah-setengah negara pengimport untuk tujuan pendaftaran produk oleh pihak berkuasa. Ia juga untuk memastikan sesuatu makanan tersebut adalah bebas dijual di Malaysia dan mematuhi kehendak-kehendak Akta Makanan dan Peraturan-peraturan Makanan 1985. Prosedur ini diturunkan sebagai panduan dan arahan yang jelas kepada pengeksport makanan tentang cara pengeluaran Sijil Penjualan Bebas
TUJUAN
- Tujuan prosedur ini adalah untuk menguruskan tatacara pengeluaran Sijil Eksport Penjualan Bebas bagi memastikan ianya berada pada standard yang ditetapkan dan mematuhi Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan undang-undang yang berkaitan.
- Ia juga akan menyeragamkan aspek teknikal permohonan dan prosedur pengeluaran Sijil Eksport Penjualan Bebas bagi produk makanan.
SYARAT-SYARAT BAGI PENGELUARAN SIJIL PENJUALAN BEBAS
Pengeluaran Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate) adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelulusan dan mematuhi perkara seperti berikut:
- Dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang berdaftar.
- Dijual sebagai produk akhir.
- Produk dikilang atau dibungkus atau empunya hak untuk mengilang atau membungkus atau ejen dan dihasilkan di Malaysia.
- Keputusan analisa makmal – mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
- Pelabelan yang mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985;
- Ada 'nama sebutan sebenar' produk
- Ada nama syarikat yang bertanggungjawab terhadap produk
- Tiada akuan / akuan kesihatan (health claim) pada label
- Produk terdapat di pasaran dan bebas dijual di negara ini.
Permohonan perlu disertakan dokumen-dokumen berikut:
- Surat permohonan rasmi daripada pemohon dengan menyatakan negara yang akan dieksport.
- Senarai produk yang akan dieksport.
- ROC – Borang 9 / SSM Kilang
- Lesen BPT Kilang.
- Invois tempatan bagi setiap produk.
- Sijil analisis makmal (makmal mempunyai akreditasi SAMM) bagi setiap produk
- Label bagi setiap produk.
BAYARAN
- Bayaran hendaklah dibuat atas nama “Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia”sekiranya permohonan dibuat di Ibu Pejabat, Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, KKM.
- Bayaran hendaklah dibuat atas nama “Pengarah Kesihatan Negeri” sekiranya permohonan di Jabatan Kesihatan Negeri.
- Pembayaran hendaklah dibuat melalui wang pos/bank draf/postal order
FI UNTUK SATU SIJIL
- Fi untuk satu sijil adalah RM 100.00. Satu sijil boleh mengandungi maksima 25 produk.
- Bayaran fi perlu dibuat mengikut tatacara kewangan (Arahan Perbendaharaan) seperti ditetapkan oleh JKN atau PKD/PKB/PKD yang mengeluarkan sijil.
- Fi Sijil Eksport Penjualan Bebas perlu dijelaskan sebelum Sijil Eksport Penjualan Bebas dikeluarkan. Bayaran fi tidak akan dikembalikan setelah permohonan diproses.
- Sekiranya Sijil Eksport Penjualan Bebas hilang, pihak pemohon perlu mengemukakan surat rasmi dan salinan laporan polis kepada JKN atau PKD/PKB/PKD yang mengeluarkan sijil tersebut semasa membuat permohonan gantian Sijil Eksport Penjualan Bebas. Fi seperti yang dinyatakan di 4.1 akan dikenakan ke atas gantian Sijil Eksport Penjualan Bebas.
MAKLUMAT TAMBAHAN
- Tempoh proses permohonan adalah satu (1) hari bekerja dari tarikh terima permohonan lengkap.
- Tempoh sah laku Sijil Eksport Penjualan Bebas adalah selama enam (6) bulan dari tarikh sijil dikeluarkan.
- Borang permohonan yang telah lengkap diisi berserta dokumen-dokumen yang telah ditetapkan hendaklah dihantar ke JKN atau PKD/PKB/PKD di mana lokasi pemohon berada.
No |
Keterangan |
Tarikh |
Jenis |
Saiz |
Tindakan |
---|---|---|---|---|---|
1 |
Garis Panduan Permohonan Sijil Penjualan Bebas
|
11 Nov 2016 |
636kB |
||
2 |
Borang Permohonan
|
11 Nov 2016 |
477kB |
|