MENGENAI KAMI  PROFIL PERKHIDMATAN

BAHAGIAN PERGIGIAN

Profil Organisasi

Pejabat Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Melaka diketuai oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) yang bertanggungjawab kepada Pengarah Kesihatan Negeri Melaka dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran kesihatan pergigian bagi negeri Melaka. Terdapat 3 buah pejabat kesihatan pergigian daerah iaitu Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin, 17 buah klinik pergigian dan 23 buah klinik pergigian sekolah di bawah jagaannya.

Visi

Negara mengembleng tenaga ke arah kesihatan yang lebih baik.

Misi

Untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada rakyat Melaka supaya mencapai tahap kesihatan mulut yang optima di kalangan individu, keluarga dan masyarakat melalui usaha-usaha menggalak tabiat kesihatan yang positif dan memastikan perkhidmatan pergigian yang berkualiti, berteknologi sesuai serta memenuhi kepuasan pelanggan.

Objektif

Untuk meningkatkan status kesihatan penduduk-penduduk di negeri Melaka kepada tahap yang optima melalui penyampaian pergigian promotif, pencegahan, kuratif dan rehabilitatif.

Aktiviti Utama

1. Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer

Perkhidmatan Pergigian primer merupakan fokus utama yang meliputi penjagaan kesihatan pergigian seperti berikut :

  • Perkhidmatan Pergigian Toddler
    Program 'toddler' dijalankan ke atas kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun di TASKA , KKIA dan Klinik Desa.Program ini bertujuan menanam kedesaran dikalangan ibubapa/ penjaga/ pengasuh/  kakitangan kesihatan terhadap kepentingan kesihtan mulut kanak-kanak tersebut untuk mengurangkan prevalan karies.Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk sapuan fluoride kepada kanak-kanak tersebut dan memberi 'anticipitory' kepada ibubapa / penjaga / penagsuh / kakitangan kesihatan .
  • Pra Sekolah
    Perkhidmatan pergigian pra sekolah diberi kepada tadika-tadika kerajaan/pra sekolah dan tadika swasta yang memohon.Program ini bertujuan menanam minatserta kesedaran terhadap penjagaan kesihtan pergigian. Aktiviti-aktiviti di bawah program ini merangkumi latihan memberus gigi ,ceramah dan 'role play dan rawatan jika berkemampuan.

                 

                  

  • Perkhidmatan Pergigian Sekolah
    Perkhidmatan pergigian sekolah diberi secara inkremental kepada sekolah-sekolah yang dikenalpasti berdasarkan senarai sekolah yang diperolehi dari Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Lawatan dilakukan mengikut jadual iaitu setahun sekali dengan persetujuaan pihak sekolah. Rawatan diberikan kepada pelajar yang mempunyai kebenaran rawatan dari ibu/ bapa/ penjaga. Aktiviti pencegahan turut dijalankan seperti pendidikan kesihatan pergigian, latihan memberus gigi dan aplikasi sealan fisur

     
  • Perkhidmatan Pergigian Ibu Mengandung
    Perkhidmatan pergigian kepada ibu mengandung diberikan melalui rujukan pihak KKIA ke klinik pergigian. Aktiviti yang dijalankan adalah pendidikan kesihatan pergigian anak dan pemeriksaan serta rawatan pergigian kepada ibu mengandung

     
  • Perkhidmatan Pergigian Warga Tua
    Penyampaian perkhidmatan adalah melalui kunjungan pegawai pergigian ke institusi warga tua yang terdapat di negeri Melaka. Selain pemeriksaan dan rawatan pergigian, warga tua juga diberi pendidikan dalam penjagaan gigi palsu dan kesihatan mulut.

     
  • Perkhidmatan Pergigian Pesakit Luar
    Perkhidmatan pergigiaan pesakit luar diberikan kepada pesakit yang datang ke klinik pergigian. Pesakit dibawah umur 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibu/ bapa/ penjaga sebelum menerima rawatan. Pesakit yang datang akan didaftarkan, diperiksa, diberi rawatan yang perlu serta khidmat susulan. Rujukan ke Pakar Pergigian dilakukan apabila perlu.

     
  • Perkhidmatan Pergigian Kanak-kanak Keperluan Khas
    Kunjungan ke PDK dan Sekolah-sekolah khas ini dilakukan oleh Pasukan Pergigian Bergerak yang terdiri dari pegawai pergigian dan jururawat pergigian. Aktiviti yang dijalankan adalah pendidikan kesihatan pergigian kepada ibu bapa / penjaga, pemeriksaan dan rawatan pergigian serta latihan memberus gigi kepada kanak-kanak ini. Kanak-kanak dengan masalah kesihatan pergigian yang kompleks dirujuk ke Pakar Pergigian Peadiatrik untuk rawatan lanjut.

     

2.  Kesihatan Pergigian Kepakaran

Selepas memperolehi ijazah asas dalam bidang pergigian ,seseorang pegawai boleh memilih untuk membuat pengkhususan di dalam bidang-bidang kepakaran berikut.

Bedah Mulut

Ortodontik

Pergigian Pediatrik

Periodontik

Pergigian Kesihatan Awam

Pergigian Restoratif

Terdapat 5 perkhidmatan kepakaran pergigian di negeri Melaka iaitu Kepakaran Bedah Mulut dan Pergigian Peadiatrik di Hospital Melaka, Unit Orthodontik di Klinik Pergigian Melaka Tengah dan KP Alor Gajah, Unit Periodontik di Klinik Pergigian Peringgit dan KP Seri Tanjumg , Unit Restoratif di Klinik Pergigian Ayer Keroh. Perkhidmatan kepakaran ini diberikan kepada pesakit melalui rujukan dari klinik pergigian kerajaan maupun swasta.

2.1 Bedah Mulut

Bedah mulut adalah merupakan satu bidang kepakaran pergigian yang berkaitan dengan rawatan kecederaan muka, pembentukan semula bahagian sekitar mulut dan maksilofasial , pembedahan implan pergigian, penjagaan pesakit yang menghidapi tumor dan juga sista rahang serta memulihkan keadaan seperti fungsi dan estetik bahagian maksilofasial.pakar bedah mulut adalah ditempatkan di hospital dan mereka bekerjasama dengan pakar-pakar bidang lain di hospital dalam menguruskan pesakit.

2.2 Orthodontik

Rawatan ortodontik adalah rawatan untuk merawat masalah susunan gigi yang tidak teratur seperti bertindih, terpusing atau jongang. Rawatan ini juga dikenali sebagai rawatan braces, atau istilahnya, pendakap gigi.

Masalah gigi tidak teratur mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, seperti factor keturunan, saiz tulang rahang dan gigi yang tidak seimbang, bentuk gigi yang tidak normal, kehilangan awal gigi susu atau gigi kekal, atau juga akibat tabiat yang tidak baik seperti menghisap jari atau putting tiruan selepas gigi kekal tumbuh.

Pesakit yang ingin mendapatkan rawatan ini boleh menjalankan pemeriksaan di mana-mana klinik pergigian berhampiran. Doktor pergigian akan merujuk anda kepada Pakar Ortodontik sekiranya didapati anda memerlukan rawatan tersebut.

Bagi perkhidmatan kerajaan, keutamaan diberikan kepada murid-murid sekolah di bawah 18 tahun.

Di negeri Melaka, rawatan kepakaran ortodontik ada disediakan di Klinik Pergigian Melaka Tengah dan juga di Klinik Pergigian Alor Gajah.

Antara tugas-tugas utama Unit Pakar Ortodontik adalah:

  • Memberi rawatan ortodontik yang komprehensif dengan cekap  dan berkesan kepada pesakit yang dirujuk dan didapati memerlukan rawatan ortodontik;
  • Mengadakan kursus – kursus kemahiran dan pemantapan ortodontik kepada Pegawai Pergigian, Juruterapi Pergigian dan Juruteknologi Pergigian;
  • Mengadakan Combine Clinic bersama bidang kepakaran lain seperti Periodontik, Restoratif, Pediatrik Pergigiandan BedahMulut;
  • Menjalankan latihan bagi PegawaiPergigian, Juruteknologi Pergigian Pelatih, Juruterapi Pergigian Pos Basik dan Pembantu Pembedahan Pergigian Pelatih        

2.3 Periodontik

Sehingga 2017 terdapat 3 lokasi klinik yang berfungsi.Ia terletak di Klinik Pergigian Peringgit Melaka Tengah, Klinik Pergigian Seri Tanjung di Tanjung Kling dan Klinik Pergigian Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Kita sering mendengar mengenai kerosakan gigi yang memerlukan tampalan tetapi ramai yang kurang memahami kewujudan struktur penting yang dipanggil periodontium. Periodontium adalah struktur penyokong gigi yang terdiri dari gusi (gingiva), tulang alveolar, simentum permukaan akar dan ligament periodontium yang memegang gigi di dalam soket tulang alveolus. (Rajah 1)

 

Bakteria  yang berada dalam mulut mampu menyelit masuk ke celah gusi dan seterusnya menyebabkan jangkitan periodontium.

Bidang Periodontik adalah suatu bidang khas untuk memelihara kesihatan tisu-tisu penyokong gigi tersebut, mencegah penyakit, merawat jangkitan serta mengembalikan fungsi tisu selepas jangkitan dapat diatasi.

Tanda-tanda utama penyakit gusi dan periodontium adalah :

  •  Gusi berdarah
  • Gusi bengkak atau mengeluarkan nanah
  • Gigi goyah atau semakin longgar
  • Gigi menjadi semakin panjang
  • Makanan yang cepat terselit
  • Gigi berganjak kedudukan dan menjadi semakin jarang
  • Deria rasa yang berubah
  • Nafas yang berbau

Kebanyakan tanda-tanda di atas tidak diiringi oleh kesakitan yang melampau.Pesakit hanya akan merasa tidak selesa apabila mengunyah makanan.Penyakit yang paling kerap memerlukan rawatan adalah Periodontitis (rajah 2)

Siapakah yang akan menerima faedah di klinik ini?

Klinik Pakar Periodontik ini berfungsi untuk membantu dan merawat pelanggan-pelanggan seperti berikut:

  • Terapi permulaan dengan merawat dan menghentikan jangkitan gusi dan tisu penyokong gigi melalui:
  • Perkongsian maklumat dalam teknik penjagaan khas gusi dan gigi yang berpenyakit periodontium
  • Rawatan pembersihan dan pengikisan karang yang melekat diakar atau simentum gigi.
  • Pemberian antibiotik khas sejajar dengan pembersihan akar
  • Terapi pembedahan pembetulan untuk memperbaiki rupa bentuk tisu yang telah rosak. Ia bertujuan untuk memudahkan pembersihan oleh pesakit dan mengelak penyakit berulang:
  • Pembedahan tisu lembut iaitu gusi yang membengkak akibat dari pengambilan ubat-ubatan atau pengaruh hormon
  • Pembedahan regenerasi iaitu memperbaiki dan membina semula tulang yang telah dimusnahkan oleh bacteria dan telah cacat bentuk sekeliling gigi
  • Pembedahan regenerasi tulang sekeliling skru implan pergigian
  • Pembedahan rehabilitasi
  • Membantu proses pemulihan fungsi gigi kerana ia mengukuhkan pegangan gigi ketulang untuk dijadikan topang kepada gigi palsu tetap dan boleh tanggal.Ini termasuklah pemanjangan korona gigi.
  • Pembedahan memasukkan skru implant pergigian
  • Mengembalikan fungsi kunyahan dan estetik melalui pembedahan penanaman skruimplan pergigian ke dalam tulang rahang yang telah di cabut giginya.

Bagaimanakah pelanggan boleh mendapat  khidmat kami?

Pelanggan hanya perlu memohon untuk menjalani saringan penyakit periodontium secara verbal di mana-mana klinik kerajaan.Pegawai-Pegawai Pergigian telah dilatih untuk menyaring dan mengenal pasti penyakit periodontium yang kompleks serta merujuk pesakit kepada Pakar.

Hanya penyakit periodontium kompleks yang tidak boleh ditangani oleh Pegawai Pergigian sahaja akan dirujuk kepada Pakar Periodontik.

           

2.4 Kesihatan Awam Pergigian

Pakar Kesihatan Awam Pergigian adalah bertanggungjawab dalam menyediakan penjagaan kesihatan pergigian kepada masyarakat sama ada melalui strategi-strategi berasaskan penduduk dan program-program kemasyarakatan. Pakar Kesihatan Awam Pergigian juga bertanggungjawab dalam pembangunan dasar kesihatan pergigian, pengurusan program, promosi kesihtan pergigian dan pencegahan penyakit pergigian serta aspek-aspek keselamatan dan kesihatan bagi persekitaran klinikal.

2.4 Pergigian  Restoratif

Pergigian Restoratif termasuklah pemulihan fungsi untuk memastikan gigi dlam keadaan sihat dan bebas dari kesakitan bagi pesakit mempunyai masalah kompleks. Pesakit di bawah jagaan Pakar Pergigian Restoratif adalah tergolong dari mereka yang telah dirujuk oleh pegawai pergigian atau pakar-pakar lain, yang memerlukan rawatan khas atau mempunyai keperluan klinikal yang kompleks dan juga mereka yang mempunyai keperluan tertentu, dengan kecacatan kongenital atau kecacatan muka ‘acquired’, masalah perubatan atau masalah pembelajaran yang boleh menyebabkan implikasi semasa rawatan diberikan kepada mereka.
Skop perkhidmatan kepakaran ini merangkumi prosedur konservatif advanced, endodontik, prostodontik tetap dan boleh tanggal serta implan. Penggunaan pelbagai jenis bahan pergigian bagi keperluan tertentu pesakit adalah diseimbangkan dengan kemahiran teknikal yang terlibat.

3.  Kesihatan Pergigian Komuniti / Masyarakat

Tumpuan utama adalah pemfluoridaan bekalan air awam, aplikasi fluorid pada gigi molar kekal murid sekolah dan pengesanan awal lesi pra kanser dan kanser mulut. Pengawasan pemfluoridaan bekalan air awam dilakukan secara berkala iaitu sekali seminggu. Pengesanan awal lesi pra kanser dan kanser mulut dilakukan bersama-sama dengan aktiviti kemasyarakatan. Aplikasi sealant fisur pada gigi molar kekal dilakukan pada murid sekolah yang memenuhi criteria yang ditetapkan untuk mengurangkan kejadian karies.
 

4.  Aktiviti Penggalakan Kesihatan Pergigian

Unit ini berperanan membantu meningkatkan  taraf kesihatan pergigian individu dan masyarakat setempat melalui aktiviti pencegahan yang merangkumi pencegahan klinikal dan promosi kesihatan pergigian. Unit ini juga berperanan menyampaikan informasi tentang perkhidmatan pergigian yang diberikan  di negeri Melaka.

Profil Perkhidmatan      Bahagian Kesihatan Awam    Bahagian Perubatan    Bahagian Pengurusan    Bahagian Farmasi    Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan 

Tarikh Akhir Kemaskini :: 19-01-2017 :: 11:00 AM
Data Terbuka
Data Terbuka
Arkib Elektronik
Arkib Elektronik
Peta Laman
Peta Laman
Laporan Perkhidmatan Online
Laporan Perkhidmatan
Online
Kajian Kepuasan Pelanggan
Kajian Kepuasan
Pelanggan
Maklumbalas Pelanggan
Maklumbalas
Pelanggan